Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘renungan’

Syirik (http://myibrah.com)

Syirik adalah merupakan sesuatu yang amat berbahaya. Hal ini adalah kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, di dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya:

”Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukamNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

 

Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Hal ini adalah kerana ia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah SWT. Justeru, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua. Sehubungan dengan itu, nabi SAW melalui hadis yang sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.

Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah SWT telah merakamkan di dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:

”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu muslim untuk mempastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik.

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah maksud syirik sebenarnya? Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk sekutu bagi Allah. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Ma’idah, ayat 72 bermaksud:

“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.

Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali ialah syirik yang dilakukan secara jelas dan terang yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  • Menerusi iktiqad: Contohnya ialah meragui atau menafikan kewujudan Allah dan berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang diciptakan Allah.
  • Menerusi perbuatan atau amalan: Contohnya adalah seperti perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhlus halus dalam perubatan dan sebagainya.
  • Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya adalah seperti menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Syirik khafi pula ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak di dalam beramal atau dalam melakukan sesuatu perkara. Rasulullah SAW pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah SAW pun menjawab bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

 

Syirik Melalui Bomoh

Antara amalan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini yang melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan. Sesuatu yang menghairankan ialah semakin dunia menjadi canggih dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, keterlibatan masyarakat dalam hal-hal syirik seumpama ini pun semakin menjadi-jadi dan berleluasa.

Sesuatu yang lebih menghairankan ialah terdapatnya golongan terpelajar di bidang pengajian Islam pun terlibat dalam hal syirik yang seumpama ini. Apakah ilmu yang dipelajari itu tidak boleh dijadikan benteng untuk menyekat diri daripada melakukan syirik kepada Allah? Atau ilmu yang dipelajari hanyalah sekadar untuk ’mencari makan’ semata-mata?.

Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud:

”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.

Kekeliruan juga timbul apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Apa yang lebih menariknya ialah amalan perubatan biasanya dimulakan dengan ayat-ayat suci al-Quran, menyebabkan pesakit yang datang begitu mudah mempercayainya.

Setelah itu iaitu setelah beberapa ketika, ’roh’ para wali yang dimaksudkan itu pun mula masuk ke dalam tubuh bomoh tersebut dan terus berkomunikasi dengan pesakit dengan bahasa Melayu atau dengan loghat Jawa dengan ia memperkenalkan dirinya. Sebagai contohnya, ia mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’.

Persoalannya, sejak bilakah Syeikh Abdul Qadir Jailani mengikuti ’kursus’ Bahasa Melayu sehingga dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik? Justeru, semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentu tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik.

Sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.

 

Sumber: http://www.ustazshauqi.com/

Read Full Post »

byMohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Setiap manusia tidak terlepas daripada menunaikan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah SWT. Kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mencari bekalan yang secukupnya sebagai persediaan untuk akhirat. Untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, syariat Islam perlu ditunaikan oleh setiap individu muslim yang akil baligh. Persoalannya ialah bilakah seseorang itu sudah mencapai tahap akil baligh?

Terdapat segelintir anggota masyarakat yang masih lagi dangkal dengan pengertian akil baligh yang sebenarnya. Apabila ditanya kepada mereka tentang solat, menutup aurat, berpuasa, dan perintah-perintah Allah yang lain, terdapat di antara mereka yang sudah pun akil baligh dengan selambanya menjawab ‘belum sampai seru’, ‘nantilah, bila hati sudah ikhlas, aku akan laksanakan perintah Allah tu!’, ‘aku tak nak jadi orang yang hipokrit membuat sesuatu tanpa ikhlas’, dan pelbagai ungkapan dan alasan lain yang dikemukakan.

Adakah mereka masih lagi belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam mentaati perintah Allah SWT?. Adakah mereka beranggapan bahawa masih lagi muda, masih banyak masa untuk bertaubat bila tiba masanya yang difikirkan sesuai? Mungkin ada yang sampai usia 55 tahun pun masih lagi belum baligh, kononnya belum sampai seru!

Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan telah sampai pada tahap umur tertentu, maka dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukalaf’. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, baligh bermaksud cukup umur atau dewasa (biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki). Manakala ‘mukalaf’ bermaksud orang yang telah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hukum Islam.

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan dalam buku al-Fiqh al-Manhaji, tahap baligh seseorang itu dapat diketahui dengan beberapa perkara:

  1. Mimpi keluarnya mani, sama ada lelaki atau perempuan.
  2. Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan sahaja. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah. (menurut bulan Islam). Kelewatan atau tidak daripada umur tersebut adalah bergantung keadaan sesebuah negeri dan suasana kehidupan
  3. Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah (hijrah). Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau tidak keluar haid.

Sewajarnya setiap individu muslim sudah mengetahui dengan yakin apabila sudah sampai umur baligh, maka sudah sampailah ‘seruan’ kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Pada tahap itu mereka sudah mampu dari segi segala aspek fizikal dan mental untuk memikul serta melaksanakan perintah Allah SWT, dan sudah lengkap bersedia dengan ilmu fardu ain dan bukan masanya lagi untuk berlengah dan bertangguh! Ini kerana mereka telah bertanggungjawab atas segala perbuatan sebagai ‘hamba’ Allah SWT. Baik atau buruk akhlak dan prestasi sebagai ‘hamba’ Allah SWT sudah ada ganjaran dan hukumannya.

Akan tetapi, apa yang mendukacitakan dewasa ini ialah persoalan baligh tidak lagi diambil berat malah dipandang remeh pula. Terdapat di antara anggota masyarakat sama ada ibu bapa atau remaja hanya menganggap baligh merupakan perkara biasa yang tidak perlu diberi perhatian serius. Natijahnya, kewajipan dan amanah yang perlu ditunaikan terus diabaikan.

Anak ialah amanah Allah kepada ibu bapa supaya menjaga dan memelihara mereka mengikut landasan Islam. Ibubapa diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama terhadap anak mereka. Mendidik anak agar memahami tanggungjawab terhadap Islam itu adalah wajib hukumnya.

Ramai ibubapa pada hari yang hanya mementingkan pembelajaran akademik anak mereka semata-mata, akibatnya terdapat anak yang tidak tahu membaca al-Quran, tidak tahu menunaikan solat, dan tidak boleh membaca surah al-Fatihah. Lebih teruk lagi apabila terdapat anak yang tidak tahu apa itu mandi hadas besar, dan masih tidak tahu menyebut kalimah syahadah dengan betul walaupun sudah mencapai usia baligh.

Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak agar mereka memahami erti baligh dan dewasa. Apabila seseorang anak sudah mencapai umur baligh, ibu bapa perlu memisahkan anak lelaki dan anak perempuan mereka dari bilik tidur masing-masing untuk menghindarkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Langkah ini akan dapat menyedarkan mereka bahawa tidak manis berkongsi bilik apabila telah meningkat akil baligh.

Ibu bapa juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melatih anak-anak mereka untuk melaksanakan perintah Allah sejak mereka belum mencapai usia baligh lagi sebagai persediaan ke arah itu. Ini telah ditegaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun (sekiranya enggan menunaikan solat) dan pisahlah mereka di tempat tidur apabila mereka berusia sepuluh tahun.”

Selain itu, ibu bapa juga wajar memberi penerangan kepada anak-anak supaya tidak masuk ke dalam bilik tidur ibu bapa mereka dengan sesuka hati dan tanpa keizinan. Peraturan ini telah ditetapkan oleh Islam agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sumbang mahram dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 58 bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah ‘aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa ; (iaitu) sebelum solat Subuh, dan ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan sesudah solat Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Tambahan daripada itu, anak-anak juga perlu diajar agar bersopan santun menurut kacamata Islam sama ada dari segi berpakaian, pergaulan sehari-hari, akhlak, ketaatan kepada Allah dan seumpamanya. Mereka perlu dididik dan diberi kefahaman yang cukup tentang Islam sejak mereka kecil lagi agar bila mereka mencapai usia baligh, mereka dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dengan mudah dan selesa.

Di samping tanggungjawab ibubapa terhadap anak, para remaja yang meniti usia baligh juga perlu berperanan untuk memastikan diri mereka berada pada jalan yang lurus dan yang diredhai Allah. Jangan hanya asyik membicarakan tentang perubahan fizikal pada tubuh badan sahaja seperti soal jerawat yang mula tumbuh, suara yang mula garau dan bentuk badan yang sudah berubah. Persoalan iman, ilmu dan akhlak perlu diutamakan!.

Mereka yang sudah akil baligh sepatutnya sudah menjadi matang iaitu mampu berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Sesuatu perkara yang hendak dilakukan, hendaklah didasarkan kepada pemikiran yang sihat berlandaskan syariat Islam. Ingatlah, bahawa setiap perlakuan yang dilakukan di atas dunia ini akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.

Ringkasnya, antara tanggungjawab seorang mukallaf yang sudah akil baligh ialah:

  1. Mematuhi dan menunaikan segala perintah Allah seperti menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, menutup aurat, menunaikan amanah, berdisiplin, dan lain-lain.
  2. Meninggalkan segala larangan Allah seperti berzina, minum arak, berjudi, melepak, menagih dadah, menderhaka kepada ibubapa, menipu, khianat dan sebagainya.
  3. Mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia seperti berkasih sayang, bermaaf-maafan dan saling bekerjasama.
  4. Melaksanakan konsep amar maaruf dan nahi mungkar iaitu menyeru masyarakat ke arah perkara-perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  5. Menjauhi perkara yang boleh menjatuhkan maruah agama, keluarga, bangsa dan negara.

 

Sumber: http://www.ustazshauqi.com/

Read Full Post »